Wednesday, May 13, 2009

Kelulusan tapak pembinaan Surau As-Syakirin ditarik balik November 2007

Kelulusan tapak pembinaan Surau As-Syakirin ditarik balik
Harian Metro, 4 November 2007
KAJANG:
Kira-kira 150 keluarga Islam di Kajang Prima, di sini, kecewa apabila kelulusan tapak pembinaan Surau Al-Syakirin ditarik balik kerajaan berikutan bantahan sebahagian penduduk di kawasan berkenaan.Jika pembinaan surau itu tidak dibenarkan, masyarakat Islam di situ terpaksa menumpang surau di Sekolah Menengah Taman Jasmin 2, kira-kira setengah kilometer dari Kajang Prima, untuk menunaikan solat berjemaah.
Difahamkan, penduduk berusaha mendirikan surau itu selepas tapak asal yang disediakan pemaju diambil Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk membuat lebuh raya.Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Penduduk Islam Kajang Prima, M Said Idris, berkata penduduk kecewa selepas tapak surau seluas 0.25 ekar ditarik balik berikutan sebahagian penduduk taman itu membuat piket bagi membantah pembinaannya pada 15 Januari lalu.
Beliau berkata, bantahan itu menyebabkan kelulusan membina surau terpaksa ditangguhkan pada 31 Januari lalu sebelum projek itu dibatalkan dengan menggantikan pembinaan masjid di Taman Asa Jaya, di sini, kira-kira dua kilometer dari taman berkenaan.
“Mengikut perancangan yang diluluskan, surau berkenaan boleh menampung kira-kira 150 jemaah setiap waktu dan dapat digunakan untuk pelbagai aktiviti riadah.“Ketika itu, penduduk lega dengan kemudahan yang dijanjikan kerana tidak perlu berjalan jauh untuk ke surau bagi menunaikan solat berjemaah,” katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri anjuran Surau Al-Syakirin, di sini, semalam.
M Said berkata, minoriti penduduk Islam di taman itu menuntut hak surau berkenaan kerana dalam tempoh enam tahun mereka terpaksa menumpang di sekolah terbabit untuk beribadat.“Selain itu, penduduk terpaksa membayar RM300 kepada sekolah itu untuk menjelaskan bayaran elektrik dan air yang digunakan jemaah,” katanya.
Kata M Said, kemudahan surau di situ terhad kerana penduduk hanya dibenar menunaikan solat berjemaah pada Maghrib dan Isyak.

No comments: